Powered By Blogger

My Kenalan

Thursday, February 16, 2012

Batas Pergaulan Lelaki & Wanita Ketika Bekerja


Timah (bukan nama sebenar) dan Ahmad (bukan nama sebenar) bekerja di pejabat yang sama, tetapi di bahagian lain. Timah dan Ahmad walaupun bukan suami isteri begitu intim dalam dan luar pejabat.
 Mereka sebenarnya sudah berumah tangga dengan pasangan masing-masing. Pernahkah kita terdengar atau melihat fenomena begini?
 Mungkin ada atau mungkin tidak. Tetapi apa pun, perhubungan seperti ini bukanlah perkara baru.

Mengapa boleh berlaku begini? Kadang kala keadaan yang memungkinkan berlakunya fenomena demikian wujud tanpa disedari.

Kerja bertimbun memaksa wanita berada di pejabat lebih daripada waktu biasa. Selalunya akan ada seorang dua rakan yang sama-sama dalam urusan kerja itu atau bos yang terpaksa memberi tumpuan untuk menghabiskan kerja mendesak.

Bayangkan sekiranya rakan atau bos itu seorang lelaki. Sedikit sebanyak interaksi dan ruang lingkup kerja sebegitu, jika wanita pula tidak berhati-hati, maka amat malang baginya.

Mula-mula mungkin keluar makan bersama atau makan nasi bungkus di pejabat. Kemudian, timbul rasa selesa bersama dan menjadi tempat luahan hati pelbagai masalah.

Jika wanita tidak pandai menjaga diri, tentu akan melarat sehingga menimbulkan bibit perhubungan yang tidak diduga. Kisah dua insan ini mungkin berlarutan dan begitu ketara sehingga menjadi bahan bualan di
pejabat.


Memang tidak dapat dinafikan bahawa wanita penyumbang sumber tenaga manusia yang besar dalam pembangunan negara.

Wanita memang perlu berganding bahu dalam melaksanakan tugas, di samping tidak mengabaikan tugas asasi di rumah.

Oleh itu, wanita berkerjaya harus mengetahui beberapa perkara sebelum ia memegang sebarang jawatan.

Di samping itu, lelaki perlu memahami adab pergaulan kerana menjaga adab pergaulan lelaki dan wanita adalah tanggungjawab bersama. Tetapi sebagai wanita cerdik dan bijaksana, kita perlu melakukannya kerana kalau bukan kita yang mulakannya, siapa lagi. Kita boleh mengawal diri tetapi tidak boleh mengawal apa yang ada dalam diri orang lain. Oleh itu kita mulakan dengan diri kita dulu.

Beberapa panduan berikut harus jelas difahami.

- Niat ikhlas kerana keredaan Allah.

Wanita berkerjaya harus mengikhlaskan niat dan meletakkan tumpuan mengapa dia memegang sesuatu jawatan. Ini kerana ingin mendapat keredaan Allah dengan berhubung terus dengan masyarakat dan melaluinya boleh dijadikan 'role model' seorang Muslimah sejati.

- Isteri dihormati.

Wanita berkerjaya harus sentiasa menjaga akhlaknya sebagai seorang isteri setia dan berperibadi tinggi. Jangan sekali-kali mengkhianati keizinan suami untuk melakukan perkara yang boleh menimbulkan fitnah.

Perlu diingat bahawa bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Kuasa untuk mengatakan tidak berada di tangan wanita itu. Jika berlaku gejala gangguan seksual, banyak cara dan saluran yang boleh dilakukan untuk mengatasinya.

- Ibu yang dimuliakan.

Wanita berkerjaya yang mempunyai anak, tentunya tahu apa itu perasaan kasihan belas, sifat timbang rasa, pemaaf dan berhikmah apabila berbicara. Sebaik mungkin sifat keibuan ini jelas terpancar dalam tindak
tanduk berurusan sama ada dengan rakan setugas, orang bawahan mahupun orang luar pejabat.


Dengan itu akan timbul rasa hormat dan jika ini berlaku, pekerja bawahan terutamanya akan senang untuk melakukan tugas secara suka dan rela tanpa perlu dipaksa dan diarah-arah. Pendek kata, jadilah ibu yang boleh dijadikan contoh dalam hal pendidikan, pembentukan akhlak dan tempat rujukan dalam hal menangani masalah berkaitan dengan anak-anak.

- Kerjaya bukan jalan keluar mengatasi kebosanan.

Malang jika wanita berkerjaya beranggapan bahawa dia bekerja untuk mengelak atau melarikan diri daripada tugas suri rumah yang dianggapnya membosankan.

- Kedudukan di sesuatu tempat kerja adalah aset.

Wanita yang mempunyai kedudukan dalam organisasinya perlu sedar bahawa dia memang boleh diharap dan mempunyai mutu kerja tinggi. Ini bermakna organisasinya akan kehilangan seseorang yang berharga jika dia tiada.

- Perlu ada suasana nasihat menasihati.

Masyarakat seharusnya memberi perhatian dan perlu memberi kata-kata nasihat. Oleh itu, wanita perlu ada rakan wanita lain yang ikhlas nasihat-menasihati.

- Jagalah sepenuhnya agar tidak berada dalam suasana yang menyebabkan fitnah iaitu menimbulkan curiga.

Kadang kala wanita lain agak cemburu dan selalu suka menjatuhkan di antara satu sama lain. Paling tidak, ada yang suka melihat perkara sumbang ini berlaku dan menjadikan rakan sebagai bahan bualan. Kita harus menjauhi wanita yang tidak boleh dibuat kawan seperti ini.

- Wujudkan persekitaran komunikasi yang baik dalam rumah tangga.


Peranan suami juga tidak kurang pentingnya. Suami memang sibuk dengan urusannya. Adakah suami wanita berkerjaya mengambil berat dan suka mendengar luahan rasa hati isteri? Oleh itu, komunikasi rumah tangga menjadi keutamaan. Suami isteri harus dapat menyelami sanubari masing-masing tanpa perlu mencurahkannya kepada orang lain, apatah lagi suami atau isteri orang. Suami isteri kenalah semarakkan semula api cinta yang terbenam dalam sekam dimamah usia perkahwinan. Jadilah teman berbicara dan telinga yang mendengar untuk pasangan masing-masing.

Perkara di atas jika dapat dihayati oleh wanita dwikerjaya, maka Allah akan memberi keredaan kepadanya.

PENULIS adalah pensyarah Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Sains Malaysia. 





No comments:

Lilypie - Personal pictureLilypie Second Birthday tickers